Pages

Wednesday, April 2, 2008

Tanggukan?

Walau berbagai isu ataupun topik hangat cuba ditimbulkan, namun tidak dapat kita lari dari menjawab persoalan yang amat hampir dengan kita selama ini. Sudahkah anda membayar bil air?
Adapun kadangkala kehadiran air dalam kehidupan sehari-hari hampir dilupakan, namun perkataan 'mampir' atau 'meminggir' mungkin boleh menggolak atau mengocakkan keadaan hati yang tidak keruan. Demikian juga seandainya setiap hari negara kita ini dibasahi oleh hujan, iaitu partikel-partikel air yang tersusun berlumba-lumba sesama mereka mencari adrenalin menghentam bumi, janganlah kita membuang air di dalam tempayan. Telah diberitakan bahawa hujan yang terhasil di dalam awan dan turun ke bumi telah dicemari oleh zarah-zarah wasap dan molekul-molekul yang tidak kelihatan oleh mata kasar. Maka sekiranya dikumpul air ini di dalam tempayan, adalah dikhuatiri akan menyebabkan penghasilan toksin dan boleh menyebabkan tanaman seperti kacang tanah dan kacang mengelembu melupakan hasrat untuk terus bersama-sama kulitnya hingga akhir hayatnya.
Namun tidaklah pula air yang yang banyak boleh menjanjikan akan pemadaman api yang masih membara dalam sekam. Kerana menurut kajian saintis tentang pembakaran sekam dan batu api, terang dinyatakan bahawa batu api adalah lebih berbahaya berbanding api yang di dalam sekam. Sekiranya diteliti, maka kita juga boleh melihat akan batu api ini andainya dibaling ke dalam minyak petrol ataupun menghentam rusuk kiri seorang pemudi, maka kesannya amatlah dasyat. Berbanding api dalam sekam, umum sudah mengetahui ianya takkan ke mana-mana selain dari dalam sekam itu sahaja dan ianya tidak pula mencetuskan kegusaran dan kekacauan ketika Condolezza Rice melawat Malaysia pada Tahun Melawat Malaysia yang lepas.
Kesimpulannya, bil air yang tertunggak di dalam negara ini adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab selain pencemaran air yang berleluasa gagal di kawal oleh sekutu-sekutu Parameswara. Bak kata pepatah, Andai roboh kota Melaka, maka kita akan bina Fort Cornwallies di Pulau Pinang, Andai sungguh bagai di kata, maka janganlah segan masuk meminang.

p/s: Selain paras gula dalam darah. Paras air dalam kepala harus juga diawasi agar kegiatan sumbang dapat dibendung dan diawasi walaupun hanya ternampak gigi di malam hari.

No comments: