Pages

Wednesday, April 30, 2008

Rak-rak Rum..rumba style..

Arakian setelah sekian lama tidak menymbangkan idea karut marut di laman ini, maka tepat jam 11:07 am tanggal 30 April 2008, aktiviti ini kembali terjalin dengan ikatan mesra hingga ke anak cucu dan cucu tiri hendaknya.
Kedapatan berbagai perkara yang timbul di kala ini di mana memungkinkan kepada penoreh getah untuk menjual Mercedes C320 mereka kepada harga yang berpatutan. Kenaikan mendadak harga barang keperluan harian kini memperlihatkan gosip-gosip artis seperti kartun humor yang memerlukan suatu kuasa paksaan untuk ketawa manja mengada-ngada. Namun di sebalik kenaikan kos sara hidup ini, masih terdapat insan-insan mulia sanggup menjual udang dibaluti mi segera jenama terkenal bagi menampung sesuap nasi golongan yang kurang bernasib baik.
Kebebalan sesetengah ketua kampung (tiada kaitan dengan filem lakonan Brad Pitt, Babel) yang bebalnya melebihi setengah ekar tanah tanaman sayuran herba menambahkan lagi keperitan hidup masyarakat majmuk di negara ini. Kegagalan ketua kampung untuk memahami aspirasi dan kehendak setiap penduduk kampung menunjukkan ketidakpekaan dan kepekakkan yang disangajakan bagi mencapai tahap tertinggi iaitu tahap dewa.
Kesan terus langsung yang ternyata mengundang padah akan muncul di kala sang ketua kampung akan dicabar oleh tok empat sehingga lapan bagi membuktikan pengedaran baja dan anak benih telah dicabuli sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak diketahui asalnya.
Diberitakan juga di sekitar perkampungan orang-orang jawa di bahagian selatan tanah air, telah wujud sindiket penjualan kamera digital yang tidak diishtiharkan nilainya. Namun sepandai- pandai tupai melompat, berlari dan 'happy hour' akhirnya jalan yang lurus di hujung tanduk kerbau yang sedang tidor nyenyak akibat termakan julap, membawa sang tupai tadi ke tanah tanpa perasaan segan silu lagi. Berkat keuntungan oleh penjual sabut yang berjaya menemui sejenis sabut yang mampu tenggelam, sang tupai itu kemudiannya dilepaskan dengan syarat dan amaran agar tidak mengulangi perbuatannya di masa akan datang. Sehingga hari ini, tupai tersebut telah berjaya mengorak langkah dalam bidang perniagaan yang menguntungkan dan menjadi usahawan berjaya dalam bidang pembuatan kopi berjenama Kopi Tupai Jantan dan Pil Tupai Jantan. Ditambah pula oleh kontrak yang diberikan oleh pihak syarikat telekomunikasi SelKom, pengedaran pil-pil melalui aplikasi 'bluetooth' juga dipelopori sepenuhnya oleh beliau.
Sekiranya diteliti dan diambil iktibar akan kesan dan akibat perbuatan jahat sang tupai dan ketua kampung, maka kita seharusnya mengambil teladan agar kesejahteraan hidup dan hubungan kekeluargaan yang erat mampu menangkis dakyah-dakyah liar serta tuduhan melulu terhadap penunggang motosikal. Masakan logik akal dapat diterima apabila setiap motorsikal yang ditungang secara laju tetapi tidak merbahaya dilabelkan mat rempit malah percubaan untuk membawa seorang datin makan diwarung murahan dilabelkan sebagai jenayah terancang. Ini adalah suatu kesalahan pelabelan yang serius dan boleh diambil tindakan undang-undang sekiranya bukti mencukupi. Sedangkan mat rempit yang sebenar adalah mereka yang berlumba-lumba secara tidak halal dan mengganggu lalu lintas di kawasan kenduri kahwin Pak Mat Tempe dan sekitar ibu kota di waktu malam gelap gelita dan di bawah lampu minyak tanah. Sebagai penutup bicara, sebuah pantun akan di 'attach' kan di bawah.

Pisang emas di bawa belayar,
Pisang yang selain dari emas hanya mampu naik lori,
Hutang Bank Rakyat perlu dibayar,
Kalau nak lari, tukar la IC, alamat serta nombor telefon sekali.

p/s: teladan sang tupai diatas telah ditaja oleh Osman Bakar Bhd.

Tuesday, April 15, 2008

Black is perfect

Bagi merubah keadaan dan cara penulisan 'blog' ini yang semakin hari semakin tak keruan walaupun keruan itu bukanlah sejenis ikan yang boleh mengubat penyakit 'sifilis'. Merujuk kepada tajuk di atas mungkin ada antara kita manusia yang bebilion-bilion bilangannya di muka bumi ini penah memikirkan soalan yang serupa, iaitu bagaimana hendak menternak babi secara bersih. Mungkin perkara ini agak sensitif bagi sesetengah pendukung parti ataupun golongan namun ianya haruslah difikirkan dari pelbagai sudut dan 'bearing'. Tidak ketinggalan juga corak penaakulan mantik yang berkesan harus diguna pakai bagi memastikan kewujudan algoritma yang tiada cacat celanya lagi.
Menurut teori juak-juak pembela babi, yang juga dikenali sebagai khinzir ini, langkah yang diambil untuk memusatkan segala populasi khinzir di sebuah negeri ini akan memberi manfaat yang tidak terkira banyaknya jika dibandingkan dengan penternakan lintah ataupun penanaman daun ketum. Difahamkan sendiri oleh bekas seorang penternak khinzir ini, tabiat pemakanan dan sistem sosial dalam kawanan khinzir adalah kompleks dan amat menarik jika dijadikan kajian secara ilmiah oleh pusat-pusat kitar semula di negara ini. Kesan yang nyata adalah berdasarkan susunan hierarki khinzir ini, mana-mana pemimpin dalam kawanan ini yang paling kreatif dalam mencipta pergaulan sama ada secara lurus ataupun meminggir, maka dialah yang paling layak mengetuai kawanan ini.
Tapi sehingga hari ini teori ini tidak dapat dibuktikan akibat musim hujan yang lebat mengakibatkan kerosakan peralatan digital yang dipasang di sekitar kandang-kandang tersebut. Nyatalah bahawa keadaan juga tidak memihak kepada penternak dan penanam daun ketum apabila idea mereka untuk mengkomersilkan hasil-hasil mereka tidak kesampaian. Malah mereka telah diberi kata dua, sama ada meneruskan penanaman ataupun berpindah menjadi penternak khinzir bersama-sama rakan yang lain.
Sehubungan itu, warna hitam atau pun 'aswad' dalam bahasa arab dan juga dikenali sebagai 'black' di kalangan masyarakat Ireland Utara adalah sesuatu yang sempurna. Ia melambangkan sesuatu yang dalam, nyata dan mungkin kelihatan berselindung tetapi ciri rona-ronanya mengkagumkan. Ianya jelas kelihatan dan tidak perlu bersusah payah untuk dipadankan dengan sebarang pakaian dalam yang lain. Hitam di situ dan sedikit lagi di situ, kemudian...gelap dan suram serta taburan hujan yang sekata memungkinkan kelahiran seorang insan dalam masa beberapa bulan lagi.

p/s: topik kali ini adalah bukan yang terakhir namun sekiranya terdapat kemusykilan mengenai sebarang panduan penternakan khinzir, sila layari www.PenternakanKhinzirRasional.gay.com

Wednesday, April 2, 2008

Tanggukan?

Walau berbagai isu ataupun topik hangat cuba ditimbulkan, namun tidak dapat kita lari dari menjawab persoalan yang amat hampir dengan kita selama ini. Sudahkah anda membayar bil air?
Adapun kadangkala kehadiran air dalam kehidupan sehari-hari hampir dilupakan, namun perkataan 'mampir' atau 'meminggir' mungkin boleh menggolak atau mengocakkan keadaan hati yang tidak keruan. Demikian juga seandainya setiap hari negara kita ini dibasahi oleh hujan, iaitu partikel-partikel air yang tersusun berlumba-lumba sesama mereka mencari adrenalin menghentam bumi, janganlah kita membuang air di dalam tempayan. Telah diberitakan bahawa hujan yang terhasil di dalam awan dan turun ke bumi telah dicemari oleh zarah-zarah wasap dan molekul-molekul yang tidak kelihatan oleh mata kasar. Maka sekiranya dikumpul air ini di dalam tempayan, adalah dikhuatiri akan menyebabkan penghasilan toksin dan boleh menyebabkan tanaman seperti kacang tanah dan kacang mengelembu melupakan hasrat untuk terus bersama-sama kulitnya hingga akhir hayatnya.
Namun tidaklah pula air yang yang banyak boleh menjanjikan akan pemadaman api yang masih membara dalam sekam. Kerana menurut kajian saintis tentang pembakaran sekam dan batu api, terang dinyatakan bahawa batu api adalah lebih berbahaya berbanding api yang di dalam sekam. Sekiranya diteliti, maka kita juga boleh melihat akan batu api ini andainya dibaling ke dalam minyak petrol ataupun menghentam rusuk kiri seorang pemudi, maka kesannya amatlah dasyat. Berbanding api dalam sekam, umum sudah mengetahui ianya takkan ke mana-mana selain dari dalam sekam itu sahaja dan ianya tidak pula mencetuskan kegusaran dan kekacauan ketika Condolezza Rice melawat Malaysia pada Tahun Melawat Malaysia yang lepas.
Kesimpulannya, bil air yang tertunggak di dalam negara ini adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab selain pencemaran air yang berleluasa gagal di kawal oleh sekutu-sekutu Parameswara. Bak kata pepatah, Andai roboh kota Melaka, maka kita akan bina Fort Cornwallies di Pulau Pinang, Andai sungguh bagai di kata, maka janganlah segan masuk meminang.

p/s: Selain paras gula dalam darah. Paras air dalam kepala harus juga diawasi agar kegiatan sumbang dapat dibendung dan diawasi walaupun hanya ternampak gigi di malam hari.