Lanjutan kisah pemanasan global yang semakin dirasai serta bahang pilihanraya yang entah bila. Jika dilihat persamaan antara keduanya, punca sebenarnya adalah sesuatu yang panas. Umpama melihat gadis berbikini sambil memesan kelapa parut di pasaraya. Sudah tentunya akibat kepanasan jugalah maka gadis tersebut terpaksa memakai bikini walaupun diketahui olehnya panas api neraka memungkinkan dia tidak langsung berbaju. Sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan yang pesat, maka lapisan ozon juga tidak kurang mengikuti perkembangan semasa. Semakin maju manusia di bumi, maka semakin nipis pemakaian baju dan kainnya. Kemungkinan kapas-kapas yang hendak dijadikan kain dan kemudiannya di potong untuk dibuat baju juga terkena tempias kemajuan manusia ini.
Tidaklah dapat kita mengelak dari memajukan diri dan keluarga walaupun Kementerian Asas Tani telah bersetuju menaikkan harga tongkat ali dan kacip fatimah agar pengusaha-pengusaha getah dapat lebih pendapatan hasil kenaikan harga kondom sedunia. Diberitakan juga kenaikan harga minyak dan makanan ayam di kala musim menuai padi menambahkan lagi keperitan hidup di zaman yang serba moden ini.
Penulis telah mendapat maklumbalas dari sebuah kajiselidik yang dilakukan baru-baru ini untuk mengesan hidupan-hidupan dan ternakan yang menjadi mangsa secara langsung akibat pemanasan global dan kenaikan harga timah mendadak. Terbahagi kepada 2 jenis mangsa iaitu mangsa keadaan dan juga mangsa buli.
Melihat kepada situasi yang dialami oleh mangsa keadaan, cuaca yang panas dan membahang memaksa mereka hidup di dalam keadaan yang amat tidak selesa apatah lagi untuk menikmati goreng pisang panas boleh menyebabkan hypertermia yang serius. Gangguan rangkaian internet dan telefon juga menyebabkan mangsa mendapat sindrom hati panas dan panas telinga. Sindrom panas punggung juga dikesan di beberapa kawasan kediaman akibat serbuan mendadak pihak berkuasa Taman Mawar untuk mengesan perompak DVD haram.
p/s: penulis tidak dapat menghabiskan posting kali ini bagi memberi peluang kepada Punch Gunalan untuk menyempuranakan sepakan penalti bagi perlawanan antara 2 buah pasukan hoki yang dirahsiakan namanya atas sebab-sebab keselamatan dalam negeri .
No comments:
Post a Comment